SENARAI BAHAN DAN KAEDAH TERLARANG

SENARAI BAHAN TERLARANG
Senarai Bahan dan Kaedah Terlarang WADA dikemas kini setiap tahun dan berkuat kuasa pada 1 Januari setiap tahun.
Senarai ini menetapkan bahan dan kaedah yang dilarang dalam sukan, sama ada pada setiap masa, semasa pertandingan atau dalam sukan tertentu.
Anda boleh membuat semakan status bahan atau kaedah dengan melayari laman sesawang yang berikut:

Global DRO (Global Drug Reference Online) ialah pangkalan data rujukan yang membolehkan atlet dan Personel Sokongan Atlet menyemak status larangan ubat atau bahan aktif berdasarkan Senarai Larangan WADA yang sedang berkuat kuasa. Semakan hendaklah dibuat berdasarkan negara ubat tersebut dibeli kerana formulasi dan kandungan sesuatu jenama boleh berbeza antara negara.
Penting: Global DRO hanya menyediakan maklumat khusus bagi ubat yang dipasarkan di negara tertentu, termasuk Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Oleh itu, ubat yang dibeli atau dipasarkan di Malaysia mungkin tidak terdapat dalam pangkalan data ini. Jika ubat tidak ditemui, jangan anggap ubat tersebut selamat atau dibenarkan. Semak bahan aktif dan dapatkan pengesahan lanjut daripada ADAMAS jika perlu.
Global DRO bukan pangkalan data untuk suplemen. Status sesuatu suplemen tidak boleh disahkan sebagai selamat hanya berdasarkan carian bahan pada Global DRO kerana kandungan sebenar produk mungkin berbeza daripada maklumat pada label.

Perjalanan ke Luar Negara: Ubat, Preskripsi dan TUE
Perjalanan ke luar negara memerlukan perancangan tambahan sekiranya anda menggunakan ubat untuk tujuan perubatan. Peraturan berkaitan ubat, bahan terkawal dan kemasukan produk perubatan boleh berbeza antara negara. Pada masa yang sama, ubat dengan nama atau jenama yang sama mungkin mempunyai kandungan yang berbeza bergantung pada negara ia dibeli.
Sebelum melakukan perjalanan, atlet dinasihati supaya:
- memastikan bekalan ubat mencukupi untuk sepanjang tempoh perjalanan;
- menyemak status ubat yang digunakan berdasarkan Senarai Larangan WADA yang sedang berkuat kuasa;
- menyemak sama ada ubat atau bahan tersebut dibenarkan untuk dibawa masuk atau dimiliki di negara yang akan dilawati;
- membawa ubat dalam pembungkusan asal yang mempunyai label yang jelas, jika berkenaan;
- membawa bersama surat doktor atau dokumen preskripsi yang mengandungi maklumat berkaitan ubat atau bahan, dos dan cara penggunaan; dan
- membawa salinan Pengecualian Penggunaan Terapeutik (Therapeutic Use Exemption, TUE) yang sah sekiranya rawatan melibatkan penggunaan bahan atau kaedah yang dilarang dalam sukan.
Membeli Ubat di Luar Negara
Berhati hati sekiranya perlu membeli ubat semasa berada di luar negara. Ubat dengan nama, jenama atau pembungkusan yang kelihatan sama tidak semestinya mempunyai bahan aktif atau formulasi yang sama seperti produk yang terdapat di Malaysia.
Semak setiap ubat sebelum digunakan. Jangan menganggap sesuatu ubat dibenarkan hanya kerana produk dengan nama yang sama pernah digunakan atau disemak sebelum ini.
TUE dan Peraturan Negara yang Dilawati
TUE memberikan kebenaran kepada atlet untuk menggunakan bahan atau kaedah yang dilarang bagi tujuan perubatan dalam konteks peraturan anti doping, tertakluk pada syarat TUE yang berkenaan.
TUE bukan kebenaran untuk membawa sesuatu ubat atau bahan masuk ke sesebuah negara. Sesetengah negara mengenakan kawalan atau sekatan terhadap ubat dan bahan tertentu melalui undang undang kastam, imigresen atau kawalan dadah mereka sendiri.
Atlet yang menggunakan ubat yang tertakluk pada kawalan sedemikian hendaklah menyemak keperluan negara destinasi sebelum perjalanan dan memastikan dokumen perubatan yang berkaitan dibawa bersama.
