Pengecualian Penggunaan Terapeutik (Therapeutic Use Exemption)

Apakah itu Pengecualian Penggunaan Terapeutik (Therapeutic Use Exemption, TUE)?
Pengecualian Penggunaan Terapeutik atau Therapeutic Use Exemption (TUE) ialah kelulusan rasmi
yang membenarkan atlet menggunakan bahan atau kaedah yang disenaraikan sebagai terlarang bagi tujuan rawatan
perubatan yang sah, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan di bawah International Standard for Therapeutic Use Exemptions (ISTUE).
Bila TUE diperlukan?
TUE diperlukan apabila atlet perlu menggunakan bahan atau kaedah terlarang untuk rawatan perubatan.
Dalam kebanyakan keadaan, TUE hendaklah diluluskan sebelum penggunaan dibuat,
kecuali dalam situasi kecemasan perubatan atau keadaan khas yang dibenarkan di bawah peraturan yang berkuat kuasa.
Siapakah yang perlu memohon TUE?
Mana-mana atlet yang tertakluk kepada peraturan anti-doping dan memerlukan penggunaan bahan atau kaedah terlarang
atas sebab perubatan hendaklah memohon TUE, mengikut peraturan dan prosedur yang berkenaan.
Permohonan TUE perlu dihantar kepada pihak mana?
Permohonan TUE hendaklah dikemukakan kepada pihak berkuasa anti-doping yang berkaitan
bergantung pada status atlet dan peringkat pertandingan, sama ada kepada
Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Persekutuan Antarabangsa,
atau penganjur kejohanan (Major Event Organization), selaras dengan ISTUE.
Apakah syarat utama untuk kelulusan TUE?
TUE hanya boleh diluluskan jika semua syarat berikut dipenuhi:
(1) kesihatan atlet akan terjejas dengan ketara jika rawatan tidak diberikan;
(2) penggunaan tersebut tidak meningkatkan prestasi melebihi tahap kesihatan normal;
(3) tiada alternatif rawatan yang munasabah dan dibenarkan; dan
(4) keperluan rawatan itu bukan berpunca daripada penggunaan bahan/kaedah terlarang sebelum ini tanpa kelulusan.
Siapakah yang membuat keputusan kelulusan TUE?
Permohonan TUE dinilai oleh Jawatankuasa TUE (TUEC) yang bebas berdasarkan dokumentasi perubatan
dan kriteria kelulusan di bawah ISTUE.
Berapa lama tempoh sah TUE?
Tempoh sah TUE bergantung pada keadaan perubatan dan rawatan yang ditetapkan. Kelulusan TUE akan menyatakan
tempoh sah serta sebarang syarat penggunaan yang perlu dipatuhi.
Apa berlaku jika atlet menggunakan bahan terlarang tanpa TUE yang sah?
Penggunaan bahan atau kaedah terlarang tanpa TUE yang sah boleh mengakibatkan Pelanggaran Peraturan Anti-Doping (ADRV)
dan tindakan selaras dengan World Anti-Doping Code serta peraturan anti-doping yang berkuat kuasa.
Di manakah atlet boleh mendapatkan panduan berkaitan TUE?
Atlet dinasihatkan untuk menghubungi ADAMAS bagi mendapatkan panduan mengenai keperluan,
prosedur permohonan dan dokumen sokongan TUE sebelum menggunakan sebarang ubat atau rawatan yang mungkin melibatkan bahan terlarang.
//Hak & Tanggungjawab Atlet
Tanggungjawab Atlet

Sentiasa berada di dalam pemerhatian DCO atau chaperone di sepanjang proses ujian

Menyediakan dokumen pengenalan diri bergambar

Mematuhi prosedur pengumpulan sampel yang telah ditetapkan

Melapor diri dengan kadar segera di stesen kawalan doping
