Soalan Lazim

Apakah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS)?
Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) ialah Organisasi Anti-Doping Kebangsaan (National Anti-Doping Organization – NADO) Malaysia yang bertanggungjawab melaksanakan program anti-doping negara selaras dengan World Anti-Doping Code dan Piawaian Antarabangsa yang berkaitan.
Siapakah yang tertakluk kepada peraturan anti-doping?
Peraturan anti-doping terpakai kepada atlet, atlet para, Personel Sokongan Atlet (termasuk jurulatih, pegawai perubatan dan pegawai pasukan), serta mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti sukan yang tertakluk kepada peraturan anti-doping.
Apakah yang dimaksudkan dengan doping?
Doping merujuk kepada Pelanggaran Peraturan Anti-Doping (Anti-Doping Rule Violation – ADRV), termasuk penggunaan atau kehadiran bahan terlarang, penggunaan kaedah terlarang, kegagalan atau keengganan menjalani ujian, pemalsuan proses kawalan doping, pemilikan, pengedaran atau pentadbiran bahan atau kaedah terlarang.
Apakah itu Senarai Bahan Terlarang?
Senarai Bahan Terlarang diterbitkan dan dikemas kini setiap tahun oleh World Anti-Doping Agency (WADA) dan mengandungi senarai bahan serta kaedah yang dilarang dalam sukan.
Apakah prinsip Liabiliti Ketat (Strict Liability)?
Prinsip Liabiliti Ketat bermaksud atlet bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang bahan terlarang yang dikesan berada dalam badan mereka, tanpa mengira niat, pengetahuan atau cara bahan tersebut memasuki badan.
Apakah itu Therapeutic Use Exemption (TUE)?
Therapeutic Use Exemption (TUE) ialah kelulusan rasmi yang membenarkan atlet menggunakan bahan atau kaedah terlarang atas sebab perubatan yang sah, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan Jawatankuasa TUE.
Apakah Registered Testing Pool (RTP) dan Testing Pool (TP)?
Registered Testing Pool (RTP) dan Testing Pool (TP) ialah kumpulan atlet yang dikenal pasti untuk tujuan ujian doping. Atlet dalam RTP diwajibkan mengemukakan maklumat Whereabouts yang tepat dan terkini, termasuk penetapan tempoh 60 minit setiap hari untuk tujuan ujian. Atlet dalam TP boleh diuji tetapi tidak diwajibkan menetapkan tempoh 60 minit tersebut dan tidak tertakluk kepada kegagalan Whereabouts di bawah Perkara 2.4, kecuali jika dimasukkan ke dalam RTP.
Apakah Pelanggaran Peraturan Anti-Doping di bawah Perkara 2.4?
Pelanggaran Peraturan Anti-Doping di bawah Perkara 2.4 World Anti-Doping Code berlaku apabila atlet melakukan sebarang gabungan tiga (3) kegagalan ujian dan/atau kegagalan pengemukaan maklumat Whereabouts dalam tempoh 12 bulan.
Adakah pengambilan suplemen dibenarkan?
Atlet dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pengambilan suplemen kerana risiko pencemaran bahan terlarang. Pendekatan mengutamakan pemakanan seimbang adalah digalakkan.
Bagaimanakah cara untuk menghubungi ADAMAS?
Sebarang pertanyaan, maklum balas atau aduan boleh dikemukakan melalui borang hubungan di portal rasmi atau saluran komunikasi rasmi yang disediakan.
Nota Penting: Kandungan ini disediakan bagi tujuan maklumat umum sahaja. Untuk rujukan rasmi, sila rujuk World Anti-Doping Code dan Piawaian Antarabangsa yang berkuat kuasa.

Hubungi Kami

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Aras 7,
Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan, 
No.27 Persiaran Perdana, Presint 4, 
62570 Putrajaya, Malaysia

  • dummy+603-8871 3569 

  • dummy+603-8888 8730

  • dummy adamas@kbs.gov.my

Please publish modules in offcanvas position.