Putrajaya, 03 & 10 November 2020 – Walaupun pandemik Covid-19 terus menular, pihak ADAMAS tetap meneruskan penglibatan dalam bidang pendidikan. Hasilnya, sesi Webinar Libat Urus World Anti-Doping Code (WADC) 2021 & ADAMAS Anti-Doping Rules 2021 telah berjaya dilaksanakan sebanyak 2 sesi iaitu pada 3 November 2020 dan 10 November 2020. Webinar ini diadakan secara maya dimana para peserta tidak hadir secara fizikal dan menyertainya melalui aplikasi Zoom.



Tujuan webinar ini diadakan adalah untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan tentang perubahan yang berlaku di dalam WADC 2021 & ADAMAS AD Rules 2021 kepada semua pemegang taruh utama pembangunan sukan negara. Ianya melibatkan Badan Sukan Kebangsaan dan Antarabangsa, Badan Sukan Rekreasi, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Institut Pengajian Tinggi, Agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah sukan dan juga Majlis Sukan Negeri. Selain itu, para atlet, jurulatih dan pegawai sokongan atlet juga terlibat untuk sesi kedua webinar ini dimana mereka didedahkan kepada hak-hak mereka berkaitan anti-doping selaras dengan kod baru, WADC 2021. Keseluruhan penyertaan untuk kedua-dua sesi telah mencecah seramai 800 hingga 1000 orang yang disertai melalui kedua-dua platform Zoom dan penstriman langsung melalui Facebook.
Webinar ini turut menyaksikan penampilan para panel yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang anti-doping, antaranya Encik Gobinathan Nair yang mewakili South East Asia Regional Anti-Doping Organization (SEARADO), Cik Azura Abidin, Pengarah ADAMAS, Prof.Madya Dr. Farrah-Hani Imran, Pensyarah Kanan di UKM dan juga merupakan bekas atlet gimrama kebangsaan, Pn. Hajah Siti Nazariah Abdul Razak, Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Cik Lesley Lim, Peguam Sukan, , Encik Hasli Izwan Amir Hasan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan juga merupakan bekas atlet menembak negara dan yang terakhir Encik Mohd Hafizuddin bin Baki, Penolong Pengarah (Pendidikan) ADAMAS. Semoga dengan sesi pencerahan ini para pemegang taruh pembangunan sukan negara akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjamin kelestarian dalam bersukan secara bersih dan berintegriti.
