KEMPEN PLAY TRUE DAY 2025: "PLAY TRUE – IT STARTS WITH YOU"

KEMPEN PLAY TRUE DAY 2025: "PLAY TRUE – IT STARTS WITH YOU"

Kuala Lumpur, April 2025 – Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) telah melaksanakan Kempen Play True Day 2025 yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan anjuran World Anti-Doping Agency (@wada_ama). Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya integriti dalam sukan serta mempromosikan nilai-nilai sukan yang bersih dan bebas daripada amalan doping.

Bagi tahun ini, tema sambutan ialah "Play True: It Starts with You", yang menekankan peranan dan tanggungjawab setiap individu termasuk atlet, jurulatih, pegawai sukan dan semua pihak berkepentingan dalam memastikan nilai integriti sentiasa terpelihara dalam arena sukan.

Majlis pelancaran Play True Day ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sebagai komitmen kementerian terhadap usaha memperkukuh budaya sukan yang sihat dan beretika di peringkat nasional serta menyokong seruan global yang dibawakan oleh WADA.

Pelaksanaan kempen ini melibatkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi utama termasuk Majlis Sukan Negara (@msn_malaysia_official), Jabatan Belia dan Sukan Negara (@jbsnegara), Institut Sukan Negara (@isnmalaysia), Perbadanan Stadium Malaysia (@stadium.malaysia), Kementerian Pendidikan Malaysia (@kempendidikan), Kementerian Kesihatan Malaysia (@kementeriankesihatanmalaysia) serta Litar Antarabangsa Sepang (@sepangcircuit).

Antara aktiviti utama sepanjang kempen ini termasuk program larian santai (fun run), sukan beroda, serta pelbagai inisiatif interaktif digital bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada komuniti sukan dan orang awam.

ADAMAS berharap agar Kempen Play True Day 2025 dapat meningkatkan kefahaman serta memperkukuh komitmen semua pihak terhadap sukan yang adil, bersih dan bebas daripada bahan terlarang. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi, tetapi juga berintegriti tinggi.

Be Clean, Be Healthy, Be Proud!
"Play True – It Starts With You"

Contact Us

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Aras 7,
Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan, 
No.27 Persiaran Perdana, Presint 4, 
62570 Putrajaya, Malaysia

  • dummy+603-8871 3569 

  • dummy+603-8888 8730

  • dummy adamas@kbs.gov.my