
PUTRAJAYA, 9 Mei 2025 – Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bersama Sepang International Circuit (SIC) telah mengadakan Mesyuarat Pascanilai bagi menilai pelaksanaan Program ADAMAS X SIC Time Out (ADAMASXSTO) yang berlangsung pada 26 April 2025 sempena sambutan Play True Day. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Pengarah ADAMAS, Puan Noor Azma binti Deris.
Mesyuarat memberi tumpuan kepada keberkesanan strategi pelaksanaan, penyelarasan antara jawatankuasa, serta cadangan penambahbaikan bagi program masa hadapan.
Program ADAMASXSTO merupakan kerjasama strategik pertama antara ADAMAS dan SIC, yang mengetengahkan aktiviti berimpak seperti larian santai, sukan beroda, sukan berbasikal serta aktiviti interaktif berkaitan anti-doping di Litar Antarabangsa Sepang.
ADAMAS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SIC selaku rakan pelaksana utama, serta Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai rakan strategik.
ADAMAS dan SIC komited untuk terus memperkukuh kerjasama ke arah memperluas impak pendidikan anti-doping dan memupuk budaya sukan bersih dalam kalangan rakyat Malaysia.

