KERJASAMA STRATEGIK ADAMAS–UITM PERKASA PEMBELAJARAN INDUSTRI DALAM ISU ANTI-DOPING

PUTRAJAYA, 21 Mei 2025 – Seramai 60 pelajar dan lima pensyarah daripada Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menyertai sesi pembelajaran bersama industri anjuran Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) di Menara KBS, Putrajaya.

Program ini dilaksanakan di bawah subjek Drugs in Sport sebagai platform pendedahan industri kepada pelajar bagi memahami peranan bidang farmasi dalam isu pematuhan dan integriti sukan.

Fokus utama sesi kali ini ialah Pengujian Kawalan Doping (Doping Control), di mana pelajar diberi pendedahan menyeluruh tentang proses pengambilan sampel – bermula daripada pemilihan atlet, pemberitahuan, pengiringan, pengumpulan sampel urin dan darah, hinggalah dokumentasi serta penghantaran ke makmal. Prinsip penting seperti pelaksanaan tanpa notis, ketelusan dan hak atlet turut diperjelaskan secara interaktif.

Selain itu, sesi ini turut melengkapkan pengetahuan daripada kuliah terdahulu mengenai struktur sistem anti-doping global, peranan organisasi seperti WADA, NADO, IF, MEO, serta proses pengecualian penggunaan terapeutik (Therapeutic Use Exemption, TUE). Pelajar juga didedahkan kepada 11 jenis pelanggaran peraturan anti-doping serta risiko etika dan kesihatan berkaitan bahan terlarang.

Dalam ucapan penutup, Pengarah ADAMAS menekankan peranan penting profesional kesihatan dalam menyokong amalan sukan bersih, serta menyatakan harapan agar kerjasama strategik ADAMAS–UiTM dapat diteruskan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, malah celik integriti dan tanggungjawab sosial dalam konteks sukan.

 

Contact Us

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Aras 7,
Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan, 
No.27 Persiaran Perdana, Presint 4, 
62570 Putrajaya, Malaysia

  • dummy+603-8871 3569 

  • dummy+603-8888 8730

  • dummy adamas@kbs.gov.my