MUAR, JOHOR, 6–8 OGOS 2025 – Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) telah menganjurkan Bengkel Latihan Operasi Risikan & Siasatan (LORIA) 2025 selama tiga hari bagi memperkukuh keupayaan pegawai dalam melaksanakan risikan dan siasatan mengikut piawaian antarabangsa.
Hari pertama bengkel memberi gambaran menyeluruh tentang landskap anti-doping serta pengenalan kepada Anti-Doping Rule Violations (ADRVs) yang dapat dikesan melalui risikan dan siasatan, selaras dengan International Standard for Intelligence and Investigations (ISII) 2027.
Pada hari kedua, fokus diberikan kepada aspek operasi lapangan yang merangkumi Pengenalan Asas Siasatan, Risikan, Whistleblower (hak, prosedur & perlindungan), serta teknik soal siasat dan pengendalian saksi. Modul ini dirangka untuk meningkatkan integriti, ketelusan, dan profesionalisme pegawai ADAMAS demi memastikan sukan negara bebas doping.
Hari terakhir pula memfokuskan kepada penyediaan laporan risikan dan siasatan yang teratur dan berjustifikasi, disusuli dengan sesi rumusan kes serta penilaian tindakan. ADAMAS merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen tinggi sepanjang bengkel berlangsung.


